Wednesday, September 16, 2009

UCAPAN KHAS NAIB CANSELOR UPSI SEMPENA AIDILFITRI

"Selepas sebulan kita menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan, kita seluruh warga UPSI yang beragama Islam menyambut pula Hari Raya Aidilfitri. Bulan Ramadan yang mulia meninggalkan kita dengan seribu kenangan betapa manisnya beribadah dan dalam masa yang sama mendidik kita agar bersimpati kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Semoga Ramadan tahun ini memberi makna yang tidak ternilai kepada kita dalam membentuk diri menjadi muslimin dan muslimat yang saling mengasihani sesama insan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Kepada semua warga UPSI sama ada kakitangan mahupun pelajar, saya mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan hari kemenangan Aidilfitri. Hari yang bermakna ini, bukan sahaja untuk kita bergembira bersama sanak-saudara dan rakan-taulan malah menjadi hari untuk kita memperkukuhkan semula ikatan silaturahim.

Berhati-hatilah ketika memandu pulang ke kampung menemui orang-orang tersayang. Saya mendoakan semoga kita semua sampai dengan selamat untuk bersama-sama di sisi keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kepada pelajar, selamat bertemu sanak-saudara dan kembalilah ke pangkuan ibu dan bapa untuk memohon keampunan. Jasa mereka terlalu besar dalam kehidupan anda untuk meniti kejayaan menjadi seorang mahasiswa seperti hari ini.

Bagi pihak diri saya, kepada semua warga UPSI, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas segala kesilapan dan tutur kata seandainya ada yang menyentuh hati sepanjang waktu kita bertugas demi menjayakan aspirasi universiti yang tercinta ini."

Cantik berseri bunga dahlia
Hendak dibeli barang seikat
Restu Ilahi di bulan mulia
Moga Aidilfitri bertambah berkat...

Terang bulan pasang pelita
Cahaya gemilang berseri-seri
Bermaaf-maafan sesama kita
Sempena menyambut Aidilfitri...

Songket jalur jual di pekan
Pekan Kuah asal negeri
Salam dihulur tanda kemesraan
Jalinkan ukhwah di Aidilfitri...

Profesor Dato' Dr. Aminah Ayob
Naib Canselor UPSI

No comments: